Halaman
Saturday, December 28, 2013
Muhammad Ali Hashim memilih mengembalikan darjah kebesaran sebelum kena tarik?
Muhammad Ali Hashim
serahkan kembali 3 darjah
kebesaran Johor
DECEMBER 28, 2013
Bekas Presiden Johor Corp (JCorp), Tan Sri
Muhammad Ali Hashim (gambar)
mengesahkan telah mengembalikan tiga
darjah kebesaran negeri Johor, semalam.
Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran
tidak dapat menerima tuduhan yang dibuat
oleh Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor,
Datuk Abdul Rahim Ramli, 5 Disember lalu,
lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, Abdul Rahim mendakwa sajak
dalam artikel Muhammad Ali “Menuntut
Hak, Menebus Masa Silam” yang disiarkan
Sinar Harian, dikhuatiri boleh menimbulkan
persepsi negatif terhadap institusi diraja
negeri Johor.
"Saya sangat memandang berat dan
serius tuduhan terhadap diri saya yang
mencemar nama baik dan reputasi saya.
"Saya mengesahkan bahawa saya telah
mengembalikan semua darjah terbabit
pada 27 Disember 2013 (semalam)," kata
Mohamad Ali kepada Sinar Harian Online,
hari ini.
Darjah terbabit adalah Darjah Dato' Seri
Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Darjah Dato'
Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia
Mahkota Johor (SMJ).
Menerusi surat bertarikh 18 Disember lalu
kepada Abdul Rahim, Muhammad Ali yang
juga Presiden Dewan Perdagangan Islam
Malaysia (DPIM) telah memberi penjelasan
mengenai penulisan artikel itu.
"Saya telah memberi penjelasan mengenai
penulisan artikel terbabit, juga dengan
tegas menolak dakwaan atau tanggapan
bahawa sajak itu mengandungi apa-apa
motif seperti yang digambarkan.
"Melalui kenyataan media ini, saya minta
masyarakat umum khasnya rakyat negeri
Johor membaca artikel itu dan menilai
sendiri sama ada penulisan itu
mengandungi unsur menderhaka kepada
raja atau tindakan tidak bertanggungjawab
atau bertentangan dengan Rukun Negara,"
katanya.
Beliau memuatkan sajak tulisan anak
bongsunya, Allahyarham Khaled Ali yang
antara lain menyebut “Sultan yang adil
adalah Sultan yang wajib disembah, Sultan
yang zalim adalah Sultan yang wajib
disanggah”.
5 Disember lalu, Bernama melaporkan,
Jemaah Majlis Diraja Johor meminta
Muhammad Ali Hashim memberi penjelasan
berhubung artikel tulisannya “Menuntut
Hak, Menebus Masa Silam”.
Artikel yang disiarkan dalam akhbar
tempatan itu dikhuatiri boleh menimbulkan
persepsi negatif terhadap institusi diraja di
negeri ini.
Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor,
Datuk Abdul Rahim Ramli berkata walaupun
tidak menyebut sebarang nama, artikel itu
boleh disalah tafsir oleh sesetengah pihak
dengan mengaitkannya dengan Sultan
Johor.
"Artikel tersebut menyebut nama Tanjung
Puteri yang merupakan nama asal Johor
Bahru.Kita khuatir perkataan 'Sultan' pada
ayat terakhir artikel tersebut boleh merujuk
kepada Sultan Johor.
"Penulisan atau tuduhan ini menunjukkan
satu perbuatan menderhaka kepada raja,
tidak bertanggungjawab dan boleh
menyebabkan pandangan rakyat terhadap
raja terpesong selain bertentangan dengan
prinsip Rukun Negara," katanya dalam
sidang akhbar di Istana Besar di Johor
Bahru.
Subscribe to:
Posts (Atom)